MENU

SUNGAI mempunyai pengaruh yang sangat penting dalam pembangunan tamadun agung zaman silam. Tamadun Mesopotamia misalnya wujud di sepanjang Sungai Tigris dan Sungai Euphrates, begitu juga tamadun Mesir yang terletak berhampiran Sungai Nil dan tamadun Indus di Sungai Indus, India.

Pada zaman moden ini, sungai dilihat sebagai lambang ketamadunan bangsa. Ekosistem sungai sangat dipengaruhi oleh aktiviti pembangunan di lembangannya, tahap kualiti air sungai menjadi petanda atau kayu pengukur kecekapan sesuatu bangsa mengurus sumber alamnya.

Di sesetengah kawasan, sungai menjadi sumber rezeki golongan nelayan, petani mengharapkan air sungai sebagai minuman ternakan dan menyiram sayur-sayuran. Tidak kurang juga yang menjadikan air sungai sebagai sumber minuman, mandi, mencuci pakaian dan sebagainya.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber air, Malaysia mempunyai 189 jaringan lembangan sungai. Terdapat 3,000 batang sungai di negara ini dengan jarak keseluruhan menjangkau beribu-ribu kilometer.

Bagaimanapun, pembangunan dan kegiatan industri yang tidak terkawal menyebabkan air sungai yang satu ketika dahulu mengalir jernih kini mula bertukar warna dan tercemar.

Pelbagai kempen yang dilakukan kerajaan untuk memastikan sungai di negara ini bebas daripada pencemaran seperti Kempen Cintai Sungai Kita dilihat gagal mencapai matlamatnya.

Sungai Klang misalnya, masih lagi menjuarai kelas sungai paling tercemar di negara ini. Setiap tahun sebanyak 1.2 juta tan kelodak dan sampah terpaksa dipunggah dari sungai itu.

Sumber : KOSMO

Pautan Laman

  • MyGov
  • MDEC
  • MAMPU
  • SPA
  • BLESS
  • KPKT
  • LHDN
  • SKMM
  • JOBS MALAYSIA