KERAJAAN Persekutuan dijangka mencatat peningkatan hasil sebanyak 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion disumbangkan hasil cukai yang lebih tinggi (RM115.5 bilion) dengan kepesatan aktiviti ekonomi domestik dan pertumbuhan mapan sektor luaran.
Semua komponen hasil cukai iaitu cukai langsung dan tidak langsung dijangka mencatat pertumbuhan positif didorong harga komoditi yang lebih tinggi, pendapatan syarikat yang kukuh, kedudukan pasaran buruh yang baik dan peningkatan pendapatan boleh guna.
Terimaan daripada kutipan cukai pendapatan petroleum (PITA) juga dijangka meningkat berikutan harga minyak mentah yang lebih tinggi dan permintaan kukuh dari negara serantau seperti India, Australia dan China.
Hasil bukan cukai terutamanya pendapatan daripada pelaburan, lesen dan permit serta bayaran perkhidmatan dijangka mencatat penurunan kecil kepada RM50.3 bilion.
Bagaimanapun, kutipan hasil daripada penjualan aset kerajaan seperti tanah dijangka lebih tinggi pada RM2.4 bilion. Hasil Wilayah Persekutuan juga dijangka meningkat selaras dengan aktiviti ekonomi yang lebih rancak.
Kerajaan akan terus melaksanakan penambah baikan dalam pentadbiran cukai untuk meningkatkan kutipan hasil, menyelaras insentif fiskal untuk memacu pembangunan dalam bidang ekonomi utama.
Pada masa yang sama, pelbagai langkah juga akan diambil bagi mencapai penjimatan. Perbelanjaan awam akan diteliti dengan lebih terperinci sementara piawaian, dasar dan amalan perolehan dipertingkatkan.
Perancangan projek dan program pembangunan akan dilaksanakan mengikut kitaran dua tahun sekali manakala penilaian akan dilakukan setiap tahun berbanding kajian separuh penggal yang diamalkan sebelum ini.
Langkah ini membenarkan fleksibiliti kepada kerajaan untuk bertindak dengan cepat terhadap perubahan dalam persekitaran ekonomi serta melaksanakan keutamaan baru selaras dengan kedudukan kewangan kerajaan.
Pembiayaan untuk inisiatif akan diukur dengan pencapaian bagi memastikan keberkesanan, akauntabiliti dan ketelusan.
Sumber : Utusan