Pemansuhan pelbagai subsidi tidak deritakan rakyat
Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com
Sumber : Berita Harian
Tarikh :2010/05/31
Penjimatan perbelanjaan boleh disalur bagi tingkat taraf hidup, sosioekonomi masyarakat
PENGAKUAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa negara berdepan situasi sukar termasuk kemungkinan muflis menjelang 2019 sekiranya trend pemberian subsidi yang diamalkan sekarang untuk barangan makanan dan perkhidmatan seperti bahan api (petrol, gas dan elektrik) terus dilaksanakan, membuka mata. Ketika ini, kerajaan memberikan subsidi pada kadar begitu tinggi iaitu 4.6 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK), lebih tinggi dibandingkan Indonesia 2.7 peratus dan Filipina 0.2 peratus. Jika diteliti, jumlah subsidi itu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding negara bukan Pertubuhan Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) seperti Filipina dan 55 kali ganda dari negara OECD seperti Switzerland.
Yang jelas berdasarkan kajian Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri mendapati hutang negara akan meningkat kepada RM1,158 bilion dalam tempoh sembilan tahun akan datang menerusi skim subsidi itu.
Tahun lalu saja jumlah subsidi sebanyak RM74 bilion atau bersamaan RM12,900 per kapita isi rumah diperuntukkan bagi tujuan itu, sekali gus dianggap sebagai negara paling tinggi bersubsidi dunia.
Secara kasarnya, komponen subsidi yang diperuntukkan itu termasuk dalam aspek sosial iaitu berjumlah RM42.8 bilion; bahan api (RM23.5 bilion); Infrastruktur (RM4.6 bilion) dan makanan (RM3.1 bilion).
Ternyata kerajaan begitu prihatin dan pemurah untuk memberikan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat dalam usaha mengurangkan bebanan terutama golongan berpendapatan rendah walaupun sebenarnya kerajaan terpaksa berdepan masalah lebih berat pada masa depan.
Namun, persediaan awal ke arah itu memerlukan subsidi distruktur semula bagi mengelak negara menjadi seperti Greece yang pendapatannya 100 peratus terpaksa digunakan untuk membayar hutang.
Hakikatnya, subsidi sebenarnya menyebabkan wujud penerima bukan golongan sasar, gangguan pasaran, masalah ketirisan dan penggunaan berlebihan dan tidak cekap di kalangan rakyat.
Untuk memastikan Malaysia berada pada landasan mencapai perkembangan ekonomi mantap, kerajaan perlu merasionalkan isu subsidi sebelum terlambat serta menggalakkan pemuliharaan secara besar-besaran dan mengurangkan penggunaan.
Justeru, negara perlu mempunyai strategi menguruskan subsidi dengan baik.
Kajian terhadap penghapusan subsidi sama ada secara berperingkat, dianggap wajar untuk sesetengah bahan makanan dan perkhidmatan seharusnya diteliti untuk generasi akan datang.
Seperti kata Idris Jala, sebagai langkah jangka panjang untuk menyelamatkan negara daripada menanggung defisit sewajarnya cadangan mengkaji pemansuhan subsidi secara berperingkat perlu dipertimbangkan.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu menggambarkan impak yang lebih jauh lagi akan terus dihadapi negara kerana terpaksa menanggung hutang serta defisit yang semakin meningkat.
Berdasarkan kajian Makmal, jika rasionalisasi subsidi kepada beberapa komponen subsidi iaitu bahan api, gas dan elektrik, tol, bahan makanan (gula, tepung dan minyak masak), pertanian dan nelayan, pendidikan, kesihatan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ia boleh menjimatkan RM103 bilion setahun.
Semua penjimatan itu boleh disalurkan untuk memantap serta meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang termasuk dalam bidang pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan.
Idris berkata, sebagai contoh, Makmal mencadangkan supaya subsidi tepung dimansuhkan kerana harganya dilihat akan meningkat kepada 20 sen satu kilogram menjelang hujung tahun ini dan 25 sen pada tahun depan manakala harga gula meningkat 20 sen sekilogram setiap enam bulan sehingga 2012 manakala harga minyak masak meningkat 15 peratus sekilogram menjelang hujung tahun ini dan 15 peratus lagi tahun depan.
“Dengan kenaikan harga tepung, umpamanya ia mampu menjimatkan RM560 juta setahun bagi tahun pertama dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, harga petrol yang tidak menentu di pasaran dunia akan menambah bebanan berpanjangan kepada kerajaan kerana kecenderungan penggunaan bahan api itu tidak berubah walaupun harganya naik sejak 2008, selain Malaysia berkemungkinan menjadi pengimport tetap untuk bahan api menjelang 2011 sekiranya meneruskan kadar penggunaan seperti sekarang.
Pada masa sama, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pemansuhan subsidi itu kerana kerajaan juga akan mengenal pasti golongan berpendapatan rendah yang layak untuk diberikan rebat tunai RM20 serta kaedah lain seperti penyediaan kedai khas di kawasan tertentu untuk golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, relevan terhadap pemansuhan itu adalah untuk menyelesaikan masalah ketidakadilan yang jelas terpampang apabila subsidi diberikan secara meluas terhadap petrol, gas dan elektrik, bayaran tol, gula, tepung dan minyak masak, ada pula pihak yang mengambil kesempatan untuk menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar mahu pemberian subsidi itu mengambil kira kepentingan golongan tertentu selain memastikan pelaksanaan berjalan lancar dengan kaedah pemantauan yang lebih cekap.
Katanya, tanggungjawab itu agak berat kerana ada sebilangan masyarakat yang tidak mahu memberi maklumat sebenar dan telus sehingga menyukarkan untuk memastikan kelayakan mereka untuk menerima subsidi.
“Ada antara subsidi yang disediakan itu dianggap sesuai dan perlu diberikan untuk rakyat. Tenaga Nasional Berhad (TNB), contohnya juga sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.